Penghasilan bahan tanaman keledek bebas penyakit menggunakan sistem aeroponik
Yaseer Suhaimi Mohd, Faizah Salvana Abd Rahman, Nur Khairani Abu Bakar, Noor Camellia Noor Alam dan Rawaida Rusli
Ringkasan
Amalan penghasilan bahan tanaman keledek secara keratan di ladang sering mendedahkan bahan tanaman kepada penyakit seperti reput lembut bakteria. Amalan ini juga merupakan punca utama pemindahan penyakit daripada satu ladang ke ladang yang lain. Justeru, satu kaedah pengeluaran bahan tanaman keledek yang dapat menghasilkan keratan berkualiti dan bebas penyakit diperlukan. Amalan konvensional penghasilan bahan tanaman keledek adalah dengan mengambil keratan di ladang apabila tanaman berusia 2.5 bulan manakala dengan menggunakan sistem aeroponik kos rendah ini keratan keledek dapat diperoleh seawal sebulan selepas tanam. Sistem aeroponik dapat menghasilkan 52 keratan pada keluasan satu meter per segi berbanding dengan kaedah konvensional 12 keratan. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak empat kali ganda berbanding dengan kaedah konvensional. Penggunaan sistem aeroponik dengan keluasan 1 m × 3 m dengan kepadatan tanaman 80 pokok dapat memberikan 300 keratan setiap bulan. Data menunjukkan keratan benih daripada sistem aeroponik adalah setanding dengan keratan benih daripada ladang. Penggunaan bahan tanaman daripada sistem aeroponik dapat mengurangkan risiko penyakit dipindahkan melalui keratan. Analisis ekonomi pengeluaran bagi penghasilan bahan tanaman menggunakan sistem aeroponik menggunakan varieti keledek bernilai tinggi seperti Lembayung dan VitAto dengan harga bahan tanaman di pasaran sekitar RM0.30 per keratan menunjukkan projek pengeluaran bahan tanaman keledek adalah berdaya maju.
