Potensi kitosan sebagai biostimulan organik untuk percambahan dan pertumbuhan benih padi (Oryza sativa L.)

Category: Bil. 45

Mohd Fairuz Md Suptian

Ringkasan
Artikel ini membincangkan potensi penggunaan kitosan sebagai biostimulan organik untuk meningkatkan percambahan dan pertumbuhan awal anak benih padi (Oryza sativa L.) varieti MRQ 76. Pertanian organik menekankan prinsip kelestarian, penggunaan sumber semula jadi dan pengurangan input kimia sintetik, sekali gus mendorong keperluan kepada alternatif seperti bahan biostimulan semula jadi. Kitosan, sebatian biopolimer mesra alam yang diperoleh daripada deasetilasi kitin daripada cangkerang krustasea seperti udang dan ketam telah dikenal pasti berpotensi dalam merangsang pertumbuhan tanaman melalui pelbagai mekanisme fisiologi dan biokimia. Kajian ini telah dijalankan untuk membandingkan keberkesanan tiga jenis biostimulan organik iaitu kitosan, cuka kayu dan ekstrak rumpai laut dengan kawalan tanpa rawatan terhadap percambahan, vigor dan prestasi pertumbuhan awal anak benih padi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kitosan memberikan kesan positif yang signifikan terhadap semua parameter yang dikaji. Kitosan meningkatkan peratus percambahan dan indeks vigor secara ketara berbanding dengan rawatan lain, di samping menghasilkan panjang pucuk dan akar serta berat pucuk dan akar yang lebih tinggi. Kajian ini juga menyokong hasil kajian terdahulu yang melaporkan keberkesanan kitosan dalam meningkatkan pertumbuhan pucuk, akar dan keberhasilan tanaman dalam pelbagai jenis tanaman lain seperti jagung, tomato, kekacang dan strawberi. Mekanisme gabungan ini menjadikan kitosan sebagai alternatif yang berpotensi dalam menggantikan input sintetik untuk meningkatkan keberkesanan sistem penanaman padi organik.

Teks penuh (579KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2026 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.