Penghasilan anak benih daripada teknologi kerintangan sistemik teraruh (ISR) yang rintang terhadap penyakit darah pisang
Ganisan Krishnen, Nur Sulastri Jaafar, Sivanaswari Chalaparmal dan Salehuddin Md Radzuan
Ringkasan
Serangan penyakit darah pisang telah mengakibatkan industri pisang negara terjejas dengan teruk. Hampir semua varieti pisang tempatan komersial khususnya varieti seperti pisang Abu, Awak, Nangka dan Berangan adalah rentan terhadap penyakit darah ini. Perkara ini membimbangkan para petani terhadap jangkitan penyakit dan ketiadaan varieti yang rintang terhadap penyakit ini. Kertas kerja ini memperincikan bagaimana anak benih pisang yang teraruh kerintangan terhadap penyakit darah dihasilkan daripada varieti yang rentan iaitu varieti Berangan. Pengaruhan kerintangan ini dikenali sebagai kerintangan sistemik teraruh (ISR) yang boleh dihasilkan dengan inokulasi bakteria bermanfaat iaitu Gladiator 1.0. Pengaruhan dimulakan dengan rendaman bahagian akar plantlet (direndam dua jam) ke dalam ampaian bakteria Gladiator 1.0 dan disemai di dalam dulang percambahan yang diisi dengan peat moss. Anak benih pisang dipindahkan ke polibeg yang mengandungi medium tanaman (tanah campuran dengan nisbah 3:2:1 yang terdiri daripada tanah, pasir sungai dan bahan organik) selepas dua minggu dari tempoh semaian plantlet dan diselenggara selama dua bulan. Aplikasi inokulan Gladiator 1.0 tambahan (booster) diaplikasikan pada minggu kedua dan keenam selepas anak benih pisang dipindahkan ke dalam polibeg. Anak benih ISR yang rintang terhadap penyakit darah pisang terhasil selepas tempoh dua bulan di dalam polibeg dan sedia dipindahkan ke ladang.
