Integrasi tanaman kontan dan penternakan ayam kampung secara organik meningkatkan pulangan pendapatan petani
Suhana Safari, Haryati Mansor dan Theeba Manickam
Ringkasan
Konsep penanaman integrasi tanaman kontan dan ternakan telah dibangunkan di plot model Ladang Organik MARDI sejak tahun 2006. Konsep pertanian organik yang diterapkan berasaskan sistem kitaran tanpa penggunaan input kimia serta mengoptimumkan agroekologi dalam penanaman. Pada tahun 2016, pengeluaran produk organik di Malaysia terdiri daripada 30% bekalan tempatan, manakala selebihnya, 70%, diperoleh melalui import. Cabaran utama dalam pertanian organik adalah produktiviti hasil tanaman yang masih rendah dan kurang lestari berbanding dengan pertanian konvensional. Oleh itu, pembangunan model integrasi yang merangkumi pelbagai sektor industri, termasuk ternakan, tanaman pelbagai jenis dan elemen agroekologi lain, bertujuan untuk meningkatkan hasil pengeluaran secara optimum. Bagi memastikan model integrasi tanaman dan ternakan lebih kos efektif serta berdaya maju, penilaian ekonomi amat penting dan maklumat ini dijangka dapat membantu penjana dalam membangunkan teknologi pertanian yang lebih praktikal.
