Penghasilan nanosilika menggunakan teknik mendapan
Noor Sarinah Mohd Noor
Ringkasan
Kajian ini meneroka penghasilan nanosilika daripada abu sekam padi melalui kaedah pemendapan kimia. Proses ini bermula dengan pembakaran terkawal serbuk sekam padi pada suhu 490 – 800 °C dengan kadar pemanasan 4 – 10 °C/min. Suhu optimum pembakaran ialah 700 °C dengan kadar pemanasan 4 °C/minit yang menghasilkan abu putih berkandungan silika tinggi dan sisa
karbon minimum. Tiga langkah utama terlibat dalam penghasilan nanosilika ini: (1) pengekstrakan silika menggunakan larutan NaOH (2.0 M) pada suhu 100 °C, (2) pembentukan gel silika melalui penambahan H2SO4 dan (3) penulenan silika menggunakan proses refluks dan pengeringan beku. Zarah nanosilika yang dihasilkan bersaiz 2 – 87 nm dan berbentuk sfera seperti yang ditunjukkan melalui mikrograf TEM. Nanosilika yang dihasilkan mempunyai luas permukaan spesifik sebanyak 18.24 m²/g dan ketulenan silika sebanyak 60.62%. Perbandingan antara serbuk sekam, abu dan nanosilika menunjukkan peningkatan ketara dari segi luas permukaan dan kandungan silika, hasil daripada penyingkiran komponen organik semasa proses pembakaran dan rawatan kimia. Kajian ini membuktikan bahawa nanosilika boleh dihasilkan secara mampan daripada sisa pertanian, sekali gus mengurangkan masalah pelupusan sekam padi dan menyumbang kepada pembangunan industri yang lebih mesra alam.
