Keberkesanan Trichoderma sp. dalam mengawal penyakit kanker batang durian

Category: Bil. 45

Suhanna Ahmad, Nor Dalila Nor Danial, Md Nurul Khalid Koyube, Nur Azlin Razali dan Haryati Mansor

Ringkasan
Kanker batang yang disebabkan oleh Phytophthora palmivora merupakan penyakit utama yang menjejaskan tanaman durian. Kajian ini bertujuan untuk menilai aktiviti antagonistik Trichoderma spp. terhadap P. palmivora melalui ujian in vitro dan in vivo. Disebabkan mekanisme kawalan biologinya yang telah terbukti berkesan, Trichoderma spp. telah digunakan secara meluas dalam bidang pertanian. Sebanyak 14 pencilan Trichoderma spp. telah diuji bagi menilai keupayaan antagonistik terhadap P. palmivora. Hasil kajian menunjukkan perencatan yang signifikan dengan kadar perencatan radial antara 53.92% – 67.65% dalam ujian kultur dua hala pada hari keenam, serta pertumbuhan sepenuhnya ke atas koloni patogen pada hari ketujuh. Selain itu, sebatian meruap yang dihasilkan oleh pencilan Trichoderma dapat menghalang pertumbuhan P. palmivora sehingga 82.74%. Antara pencilan yang diuji, T. asperellum (T1), T. virens (T6) dan T. harzianum (T16) menunjukkan kesan perencatan tertinggi in vitro dan seterusnya dipilih untuk ujian in vivo. Apabila digunakan pada anak benih durian 24 jam sebelum inokulasi patogen, pencilan tersebut mengurangkan keterukan lesi dengan ketara selepas 30 hari, di mana T. virens (T6) paling berkesan berbanding kawalan tanpa rawatan. Dapatan ini menunjukkan bahawa Trichoderma spp. mampu memperlahankan penyebaran kulat P. palmivora dalam tumbuhan melalui mekanisme antifungal sinergistik. Penggunaan Trichoderma spp. sebagai agen kawalan biologi adalah selari dengan prinsip pengurusan tanaman secara organik kerana mengurangkan kebergantungan kepada racun kulat sintetik, meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan memperkayakan biodiversiti mikrob tanah. Aplikasinya secara pencegahan boleh disyorkan sebagai strategi mampan dan mesra alam bagi mengawal penyakit kanker batang dalam penanaman durian.

Teks penuh (901KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2025 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.