Penentuan kandungan serat diet dalam serbuk rebung bawah kaedah prarawatan berbeza
Chua Hun Pin, Sabeetha Sarmin, Nicholas Daniel, Zakaria Abdul Rahman dan Hazanizam Ahmad Sedenan
Ringkasan
Rebung dikenali sebagai sumber serat diet yang memberi pelbagai manfaat kesihatan seperti membantu sistem penghadaman dan mengurangkan risiko penyakit kronik. Artikel ini membincangkan kesan prarawatan haba yang berbeza iaitu: mentah (kawalan), kukus dan rebus terhadap kandungan serat diet dalam serbuk rebung daripada spesies rebung Gigantochloa atter. Kandungan serat kasar (CF), jumlah serat diet (TDF), serat diet tidak larut (IDF) dan serat diet larut (SDF) dalam serbuk rebung dianalisis menggunakan kaedah AOAC. Hasil kajian menunjukkan serbuk rebung mentah mempunyai kandungan TDF tertinggi iaitu 61.7 g/100 g, diikuti prarawatan pengukusan (41.3 g/100 g) dan prarawatan perebusan (34.9 g/100 g). Rebung mentah mencatatkan IDF tertinggi iaitu 59.0 g/100 g. Nilai ini menurun selepas prarawatan pengukusan (37.2 g/100 g) dan seterusnya selepas prarawatan perebusan (32.4 g/100 g). Sebaliknya, prarawatan pengukusan meningkatkan kandungan SDF kepada 4.1 g/100 g berbanding dengan 2.7 g/100 g dalam rebung mentah. Perubahan kandungan serat selepas prarawatan haba disebabkan oleh pemecahan komponen berserat dan larut lesap semasa proses haba. Ketiga-tiga prarawatan menghasilkan serbuk rebung dengan kandungan serat diet yang tinggi, sekali gus menunjukkan potensinya sebagai bahan makanan fungsian untuk menyokong kesihatan dan inovasi makanan yang lestari.
Teks penuh (1.04MB)
