Kaedah pengekstrakan dan penentuan sebatian toksik cerberin dalam ekstrak buah pong-pong menggunakan teknik kromatografi
Mirfat Ahmad Hasan Salahuddin, Norzainih Jasmin Jamin, Muhammad Faris Mohd Radzi, Che Ammar Abqari Che Omar dan Azimah Abd Kadir
Ringkasan
Cerbera odollam atau pong-pong menghasilkan biji yang sangat beracun disebabkan kehadiran cerberin, sejenis glikosida jantung yang toksik dan berbahaya. Kajian ini dijalankan untuk mengekstrak dan menentukan kandungan cerberin daripada sampel biji buah pong-pong menggunakan teknik kromatografi yang bersesuaian. Pemilihan kaedah pengekstrakan serta jenis pelarut yang tepat adalah penting bagi memastikan ekstrak yang diperoleh mengandungi sebatian cerberin dalam kepekatan optimum. Dalam kajian ini, sampel biji pong-pong diekstrak melalui kaedah pengekstrakan pelarut berturutan menggunakan empat jenis pelarut organik yang berbeza kepolaran iaitu heksana, kloroform, etil asetat dan metanol. Pemilihan pelarut yang sesuai bersama gabungan teknik kromatografi UHPLC-MS/QTOF dan HPLC telah membolehkan pengesanan dan penentuan cerberin dalam biji pong-pong secara tepat dan menyeluruh. UHPLC-MS/QTOF membolehkan pengenalpastian cerberin secara kualitatif berdasarkan jisim molekul dan corak fragmen MS/MS yang sepadan dengan sebatian piawai, manakala HPLC mengesahkan kehadirannya secara kuantitatif berdasarkan masa penahanan dan lengkung kalibrasi. Kloroform, pelarut dengan kepolaran sederhana, didapati paling berkesan untuk mengekstrak cerberin yang bersifat separa polar, justeru menghasilkan isyarat MS yang paling tinggi dan kandungan cerberin yang signifikan berbanding pelarut lain yang diuji. Kandungan cerberin yang berbeza mengikut lokasi pengumpulan sampel, menunjukkan kemungkinan pengaruh faktor persekitaran dan variasi genetik terhadap biosintesis cerberin. Strategi analisis bersepadu ini bukan sahaja membolehkan penentuan cerberin secara tepat dan berkesan, malah menekankan kepentingan teknik kromatografi yang sesuai dalam penilaian awal sebatian toksik daripada sumber semula jadi.
