Penyuntingan genom padi: Teknologi alternatif melawan penyakit karah
Rogayah Sekeli, Amin Asyraf Tamizi, Nazrul Hisham Nazaruddin, Mazlizaznina Manap, Zaifulfarizal Zulkifli, Wee Chien Yeong, Siti Norsuha Misman, Siti Norhayati Ismail dan Rahiniza Kamaruzaman
Ringkasan
Penyakit karah padi yang disebabkan oleh kulat Pyricularia oryzae, memberikan impak yang negatif kepada pengeluaran padi di Malaysia. Penggunaan kaedah pembiakbakaan konvensional mempunyai kekangan disebabkan oleh kemunculan strain patogen baharu yang lebih virulen. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk meneliti potensi penyuntingan genom sebagai pendekatan alternatif dalam pengurusan penyakit karah padi dengan penekanan khusus terhadap penggunaan teknologi CRISPR/Cas9. Penyuntingan genom berupaya mengubah suai sesuatu gen secara spesifik yang terlibat dalam tindak balas imun tumbuhan, sekali gus meningkatkan ketahanan tumbuhan terhadap patogen. Kajian yang dijalankan di MARDI mengenai penyuntingan gen Bsr-d1 dalam varieti padi MR 297 menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila beberapa titisan T1 yang telah diubah suai menunjukkan ketahanan yang signifikan terhadap penyakit karah. Selain itu, pokok padi tersunting gen hasil penggunaan teknologi ini menyediakan penyelesaian yang lebih lestari melalui pengurangan penggunaan racun kulat kimia serta dapat memelihara alam sekitar dan meningkatkan hasil padi. Kajian penilaian lanjut perlu dijalankan dalam persekitaran terkawal dan lapangan terbuka untuk menentukan potensi sebenar tanaman padi yang telah disunting ini. Meskipun teknologi penyuntingan genom masih baharu di Malaysia, penggunaan teknologi ini menjadi satu penyelesaian alternatif dan efektif dalam meningkatkan penghasilan tanaman padi dan mengurangkan kerugian akibat serangan penyakit karah pada masa hadapan.
