Penilaian serangan koksidiosis pada kambing betina Boer pada peringkat laktasi
Nik Siti Mariani W Hamat, Lily Rozita Md Hakin, Halimatun Yaakub dan Wan Zahari Mohamed
Ringkasan
Penilaian serangan koksidiosis pada kambing betina Boer peringkat laktasi telah dijalankan di Ladang Kambing Koperasi Pembangunan Desa, Papar, Sabah. Seratus ekor induk berumur 2 – 3 tahun dipilih secara rawak merangkumi pelbagai peringkat laktasi. Kesemua kambing diperiksa membran mukus mata menggunakan kad FAMACHA© dan penilaian skor badan (BCS). Lima ekor kambing daripada setiap skor kad FAMACHA© telah dipilih secara rawak untuk pengiraan oosit per gram (OPG) dan pengenalpastian spesies oosit koksidia. Keputusan kajian menunjukkan 56% kambing berada pada awal laktasi, 39% pertengahan laktasi dan 5% akhir laktasi. Hanya 20% kambing berada dalam keadaan sihat (skor 1 dan 2 kad FAMACHA©) sementara 80% kambing berada dalam keadaan anemia (skor 3, 4 dan 5) termasuk 18.8% mengalami anemia teruk. 47% kambing (skor 1, 2 dan 3 kad FAMACHA©) mempunyai kondisi badan yang baik dengan BCS 3 sementara 53% kambing (skor 4 dan 5) mempunyai badan yang kurus dengan BCS 2. Skor 1 dan 2 kad FAMACHA© mengalami serangan koksidiosis yang rendah di mana nilai OPG antara 116 – 240 manakala kambing dalam skor 3 dan 4 mengalami serangan koksidiosis yang sederhana (OPG 1400 – 1540). Skor 5 kad FAMACHA© mengalami serangan koksidiosis yang teruk (OPG 2670). Pemerhatian mikroskopik menunjukkan oosit koksidia adalah daripada genus Eimeria. Kajian ini menunjukkan bahawa majoriti kambing Boer pada peringkat awal dan pertengahan laktasi di ladang ini telah djangkiti koksidiosis.
