Penerimaan serbuk effervescent antiradang berasaskan halia dan rosel dalam kalangan pengguna
Norzalila Kasron, Saiful Bahri Sa’ari, Nur Fazliana Md. Noh dan Nurul Huda Sulaiman
Ringkasan
Gaya hidup moden yang sibuk menyukarkan pengambilan makanan berkhasiat secukupnya. Justeru, mendorong penggunaan suplemen seperti effervescent yang mudah diambil dan lebih cepat diserap. MARDI telah membangunkan serbuk effervescent antiradang berasaskan halia dan rosel yang kaya dengan gingerol, shogaol, polifenol serta antioksidan seperti cyanidin dan delphinidin. Produk ini berpotensi sebagai sumber alternatif ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) yang diketahui mempunyai kesan sampingan jangka panjang. Kajian penerimaan pengguna telah dijalankan ke atas 300 orang responden di Lembah Klang, mendapati majoriti responden (62%) mengetahui tentang effervescent dan 68% pernah menggunakannya, terutama golongan berumur di bawah 40 tahun. Uji rasa ke atas dua sampel effervescent menunjukkan produk MARDI lebih digemari daripada produk sedia ada di pasaran terutama dari segi warna, rasa manis, masam, aroma dan rasa kesan. Analisis pasaran menunjukkan 49% responden menggunakan effervescent dua kali seminggu, manakala 44% daripada kumpulan B40 membelanjakan kurang RM20 sebulan. Terdapat tiga faktor utama yang mempengaruhi pembelian: keselamatan produk (35.1%), pengaruh orang ramai (15.09%) dan pengiklanan (13.25%). Faktor keselamatan merangkumi kelulusan KKM dan maklumat pada label, manakala pengaruh sosial seperti rakan dan ahli keluarga turut memainkan peranan penting. Pengiklanan melalui media sosial dan digital pula membantu membentuk persepsi positif pengguna. Produk effervescent antiradang ini mempunyai potensi pasaran yang baik, khususnya dalam kalangan pengguna muda yang mementingkan kesihatan, kemudahan dan keselamatan produk.
