Kesan indeks kematangan dan penyimpanan ke atas ciri fizikokimia rebung buluh segar (Gigantochloa albociliata)
Zaulia Othman, Nur Alisha Othman, Nur Syafini Ghazali, Azhar Mat Noor, Nurul Khdijah Rusly, Razali Mustafa, Joanna Cho Lee Ying dan Mohd Kamal Mohd Tajuddin
Ringkasan
Kajian ini menilai kesan indeks kematangan terhadap kualiti rebung buluh Gigantochloa albociliata yang disimpan pada suhu 10 °C selama dua minggu. Rebung dibahagikan kepada empat indeks kematangan: Indeks 1 (<55 cm), Indeks 2 (56 – 75 cm), Indeks 3 (76 – 95 cm) dan Indeks 4 (>96 cm). Sampel dituai, dibersihkan serta disimpan, kemudian dinilai secara mingguan berdasarkan ciri fizikokimia termasuk kualiti visual, warna (L, hue, chroma), ketegaran, jumlah pepejal terlarut (TSS), pH, keasidan tertitrat (TTA) dan kandungan asid askorbik. Hasil kajian menunjukkan rebung segar berada pada kualiti terbaik dengan batang keras, isi putih dan kelopak pelindung hijau. Namun, penyimpanan menyebabkan kemerosotan progresif seperti pengecutan, pemerangan, pertumbuhan kulat dan kehilangan kesegaran. Dari segi nutrisi, rebung G. albociliata mencatatkan TSS tinggi (6.50 – 10.00 °Brix), lebih tinggi berbanding dengan beberapa varieti lain. Kandungan TSS meningkat selepas minggu pertama, dipengaruhi oleh indeks kematangan dengan rebung lebih muda (Indeks 1 – 2) menunjukkan nilai lebih tinggi. Nilai pH yang agak tinggi (5.60 – 6.40) menurun sepanjang penyimpanan, selari dengan peningkatan keasidan (TTA). Ketegaran isi menurun pada minggu pertama sebelum meningkat semula, manakala ketegaran kulit bertambah seiring kematangan. Dari aspek visual, kecerahan dan nilai warna menurun signifikan selepas minggu pertama, menandakan pemerangan yang dipengaruhi tempoh simpanan serta indeks kematangan. Secara keseluruhan, indeks rendah (1 – 2) mengekalkan kualiti lebih baik, manakala indeks tinggi (3 – 4) menunjukkan penurunan kualiti lebih cepat. Kajian ini membuktikan pemilihan indeks kematangan sesuai penting dalam pengendalian lepas tuai, selain memberi asas kepada pembangunan piawaian penuaian dan kaedah penyimpanan optimum.
