Pengesahan genetik ‘Raja Sungai’: membezakan Kelah daripada Empurau
Mohd Azwan Jaafar, Naim Syahmi Noordin dan Muhammad Zudaidy Jaapar
Ringkasan
Ikan Kelah dan Empurau yang dikenali sebagai ‘Raja Sungai’, merupakan ikan air tawar premium di Malaysia. Kajian genetik komprehensif ini dijalankan bagi menjelaskan kekeliruan yang wujud berhubung dengan status taksonomi dan identiti kedua-dua spesies tersebut. Hasilnya mengesahkan suatu paradoks yang sering dibincangkan bahawa Kelah dan Empurau walaupun berbeza daripada segi nama dan ciri fizikal, sebenarnya tergolong dalam satu spesies yang sama iaitu Tor tambra. Pengesahan ini dibuktikan melalui data populasi yang menunjukkan tahap perbezaan genetik (FST) yang sangat rendah iaitu 0.0956, serta aliran gen yang aktif pada 2.3641, menandakan mereka adalah satu populasi besar yang saling berhubung. Selain itu, Inbreeding Coefficient (FIS) yang negatif (–0.3899) turut mengesahkan populasi ini berada dalam keadaan sihat dengan kepelbagaian genetik yang baik. Kekuatan utama kajian ini adalah kejayaan aplikasi penanda molekul SSR untuk membezakan kedua-dua strain ini walaupun daripada spesies yang sama. Analisis terperinci menunjukkan bahawa tiga daripada penanda SSR yang diuji mampu mengenal pasti genotip unik yang konsisten membezakan antara Kelah dan Empurau. Contoh paling ketara adalah melalui penanda Barb59, di mana majoriti sampel Kelah mempunyai alel dominan bersaiz 222 bp, manakala majoriti Empurau pula mempunyai alel bersaiz 144 bp. Hanya satu penanda, MFW1, menunjukkan profil genotip yang serupa bagi kedua-dua strain. Teknologi ini mempunyai implikasi yang amat penting, terutamanya untuk tujuan pengesahan ketulenan bagi membanteras penipuan pasaran yang berleluasa. Di samping itu, ia menjadi alat yang berkuasa dalam industri akuakultur untuk menyokong program pembiakbakaan terpilih bagi menjamin ketulenan baka, serta membantu agensi berkaitan dalam merangka strategi pemuliharaan populasi liar 'Raja Sungai' Malaysia dengan lebih berkesan.
