Pembangunan dan penilaian kapsul inokulan tanah bermanfaat
Nor Fadilah Abd Halim, Muhammad Syahren Adzahar, Emmyrafedziawati Aida Kamal Rafedzi, Noor Shita Desa, Alias Mat Yunus, Nurul Izzah Amirah Muhamad Jamil dan Mohamad Shahir Supian
Ringkasan
Kapsul inokulan tanah bermanfaat mengandungi tiga jenis bakteria tanah berfaedah iaitu Bacillus velezensis, Paenibacillus polymyxa dan Bacillus amyloliquefaciens. Bacillus velezensi mempunyai tiga fungsi, iaitu mengikat nitrogen serta melarutkan fosforus dan kalium. Manakala Paenibacillus polymyxa dan Bacillus amyloliquefaciens mempunyai dua fungsi iaitu mengikat nitrogen dan melarutkan fosforus. Aktiviti mikrob ini menyumbang kepada peningkatan kesuburan dan penyerapan nutrien tanah. Kapsul inokulan tanah bermanfaat mempunyai kadar kemandirian yang lebih stabil sehingga 30 bulan dengan populasi mikrob mencecah 1010 CFU/g, berbanding dengan baja bio dalam bentuk cecair dengan kadar kemandirian antara 6 – 12 bulan sahaja selepas dikilangkan. Selain itu, kapsul ini juga mempunyai rintangan yang lebih tinggi apabila dicampur dengan bahan kimia dan persekitaran yang melampau. Kajian keberkesanan kapsul inokulan tanah bermanfaat terhadap nanas MD2 di MARDI Pontian menunjukkan hasil meningkat sebanyak 24% berbanding dengan kaedah konvensional serta meningkatkan tahap kemanisan nanas (TSS)>15 °Brix dengan kandungan asid askorbik tertinggi iaitu 45.73 mg/100 FW dan buah kurang berasid <0.45% TTA. Kajian keberkesanan kapsul inokulan tanah bermanfaat terhadap keledek VitAto di MARDI Bachok juga telah meningkatkan hasil tanaman sebanyak 15.4% berbanding dengan kaedah konvensional.
