Kesan penggunaan medium tanaman berbeza untuk penanaman halia Bentong secara fertigasi di tanah gambut

Category: Bil. 47

Peter Laga Lium, Jilum Makup dan Bolhassan Pawi

Ringkasan
Teknologi fertigasi moden telah terbukti berjaya dalam meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil pelbagai jenis tanaman bernilai tinggi. Walau bagaimanapun, penanaman halia Bentong secara fertigasi menggunakan medium yang berbeza di kawasan tanah gambut masih belum diterokai. Penanaman halia Bentong secara fertigasi menggunakan medium tanaman yang berbeza memberikan pilihan kepada pengusaha dalam aspek pemilihan medium tanaman yang sesuai bergantung kepada keadaan kawasan, kos dan bahan sedia ada yang senang didapati. Melalui kajian dalam projek ini, kita dapat mengenal pasti kesesuaian medium tanaman fertigasi lain yang mungkin berpotensi sebagai bahan alternatif medium tanaman selain bahan sedia ada iaitu cocopeat. Penggunaan medium tanaman cocopeat dalam fertigasi amat popular sekali di kalangan pengusaha fertigasi. Walau bagaimanapun, bahan cocopeat ini masih sukar lagi didapati serta kos yang agak tinggi terutamanya di Sarawak. Oleh itu, kajian ini menekankan bahan alternatif lain iaitu campuran cocopeat dan tanah gambut serta tanah gambut itu sendiri sebagai medium tanaman. Daripada keputusan kajian melibatkan penanaman 400 pokok halia Bentong di kawasan tanah gambut, didapati penggunaan cocopeat masih menghasilkan purata hasil halia tertinggi (3.62 kg), medium tanah gambut (2.93 kg) dan diikuti medium campuran cocopeat + tanah gambut (2.62 kg). Dengan mengambil kira pengurangan kos sebanyak 50 – 90% dan perbezaan purata berat hasil tanaman sebanyak 19%, penggunaan medium tanaman tanah gambut masih lagi relevan bagi tanaman halia secara fertigasi khas untuk kawasan tanah gambut. Dengan keperluan medium tanaman yang agak banyak untuk fertigasi halia (saiz polibeg 24 inci x 24 inci), pengurangan kos medium tanaman amatlah diperlukan untuk penanaman di kawasan tanah gambut.

Teks penuh (3.83MB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2025 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.