Teknologi baja GREENCOAT: Formulasi pelepasan nutrien terkawal masa bagi tanaman mangga
Muhammad Syahren Adzahar, Zul Helmey Mohamad Sabdin, Muhammad Hafiz Muhammad Hassan, Norsyahidah Mohd Sam dan Wan Mahfuzah Wan Ibrahim
Ringkasan
Pembangunan baja pelepasan nutrien terkawal masa GREENCOAT telah dijalankan melalui ujian makmal dan lapangan untuk memenuhi keperluan spesifik tanaman mangga. Beberapa parameter penting telah dibangunkan, termasuk formulasi komposisi bahan salutan agropolimer dari segi jisim molekul, ketebalan salutan, formasi partikel, suhu, porositi, kestabilan fizikal, dan kadar pereputan dalam tanah. Agropolimer ini adalah bahan mudah reput yang mampu menyerap air sehingga 200%, menjadikannya sesuai sebagai salutan baja pelepasan perlahan. Agropolimer yang dihasilkan daripada sisa pertanian tempatan digunakan sebagai bahan salutan bagi menggantikan salutan polimer kimia yang sukar reput. Penggunaan bahan mesra alam dengan modifikasi kimia fizikal mampu mengurangkan penggunaan baja sebanyak 25% dan kekerapan aplikasi baja sebanyak 66.7%, di mana hanya dua kali pembajaan setahun berbanding dengan tiga kali setahun menggunakan pembajaan konvensional. Berdasarkan kajian yang dijalankan, formulasi baja pintar GREENCOAT mangga mampu meningkatkan keberkesanan pengambilan nutrien sekali gus dapat mengurangkan kehilangan nutrien dengan ketara (N: 25.9%, P: 43.8%, K: 20.6%) menjadikan baja GREENCOAT satu teknologi bernilai tambah untuk petani dan menyokong kelestarian pertanian yang lebih mesra alam.
