Pengeringan benih jagung bijian: Perbandingan antara kaedah pengeringan hamparan rata dan pengeringan suria jenis rumah hijau
Zainun Mohd Shafie, Amir Syariffuddeen Mhd Adnan, Mohd Effendi Mohd Noor, Faizah Salvana Abd Rahman, Ruwaida Abdul Wahid, Sharifah Hafiza Mohd Ramli, Suryanti Bustam, Muhammad Aliq Jamaluddin, Mohd Hafiz Mohd Amin Tawakal, Mohd Zaimi Zainol Abidin, Ahmad Fadhlul Ab Rahman, Mohd Azmirredzuan Sani, Sha’fie Alwi dan Amir Redzuan Shamsulkamal
Ringkasan
Pengeluaran jagung bijian semakin diberi tumpuan di Malaysia bagi mengurangkan kebergantungan kepada import. Dalam konteks pengeluaran benih, proses selepas tuai khususnya pengeringan amat penting kerana ia menentukan kadar percambahan benih. Kandungan lembapan benih jagung perlu diturunkan ke tahap selamat (bawah 13%) bagi mengelakkan serangan kulat, kerosakan fisiologi dan kehilangan kualiti semasa penyimpanan. Perbandingan dua jenis pengering telah dijalankan menggunakan pengering hamparan rata (FBD) dan pengering suria jenis rumah hijau. FBD menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik dari segi kecekapan. Ia berjaya mengeringkan jagung tongkol kepada kandungan lembapan selamat (<12%) dalam masa 91 jam sahaja. Sebaliknya, pengering suria jenis rumah hijau mengambil masa yang jauh lebih lama, iaitu 231 jam. Kelebihan FBD disebabkan oleh kestabilan suhu (35 – 45 °C) dan kelembapan relatif (30 – 40%) yang terkawal, manakala pengering suria jenis rumah hijau mengalami variasi suhu dan kelembapan yang ketara antara siang dan malam yang membawa kepada fenomena rehidrasi yang melambatkan proses pengeringan. Dari aspek kualiti benih, FBD menghasilkan kadar percambahan 99.3% berbanding dengan 98.8% bagi pengering suria rumah hijau. Walaupun kedua-dua kaedah pengeringan menunjukkan keupayaan percambahan benih melebihi 98%, penggunaan FBD didapati lebih sesuai bagi pengeluaran benih berskala besar disebabkan kawalan suhu dan aliran udara yang lebih seragam, sekali gus menjamin kualiti benih yang konsisten. Namun, kos operasi FBD lebih tinggi berbanding dengan pengering suria jenis rumah hijau yang lebih ekonomik dan mesra alam, tetapi memerlukan penggantian polikarbonat setiap 5 – 7 tahun. Secara keseluruhan, pemilihan kaedah pengeringan perlu pertimbangan dari segi kos, prestasi dan kelestarian, dengan sistem hibrid dicadangkan sebagai pilihan masa depan.
