Prestasi pertumbuhan aksesi mangga terpilih di dalam pasu self-watering container (SWC) untuk pertanian bandar
Mohd Azhar Hassan, Muhammad Afiq Tajol Ariffin, Mohamed Hafeifi Basir dan Zulkiffely A. Rahman
Ringkasan
Penilaian dan pemilihan aksesi mangga merupakan langkah penting bagi menentukan varieti yang paling sesuai untuk sistem pertanian bandar. Kajian ini dilaksanakan bagi menilai prestasi beberapa aksesi mangga yang ditanam dalam sistem self-watering container (SWC), iaitu salah satu inovasi MARDI. Tujuh aksesi telah dinilai iaitu Irwin, Epal Rumania, Julie, Telur, SB003, Chokanan dan Harumanis. Penilaian terhadap pokok berumur 16 bulan menunjukkan bahawa Julie, Telur, Irwin dan Epal Rumania mempunyai ciri pertumbuhan renek berdasarkan panjang ruas batang yang pendek, iaitu antara 11 – 13 cm. Lima aksesi iaitu Chokanan, SB003, Epal Rumania, Julie dan Telur didapati berbunga secara semula jadi dalam tempoh 1 – 12 bulan selepas penanaman. Aplikasi paclobutrazol pada kadar 1 mL/L air turut menunjukkan bahawa lebih 70% pokok bagi semua aksesi kecuali Irwin mampu berbunga dalam masa tiga bulan selepas aruhan. Dari segi hasil, aksesi Telur, Epal Rumania dan Chokanan mencatatkan purata bilangan buah tertinggi, iaitu masing-masing 46, 13 dan 11 biji sepokok. Semua aksesi menunjukkan kandungan jumlah pepejal larut melebihi 14%, kecuali Telur, manakala Telur dan Julie menghasilkan buah bersaiz kecil kurang daripada 250 g. Berdasarkan warna kulit buah masak, aksesi dapat dikelaskan kepada tiga kategori iaitu kemerahan, kuning dan hijau. Buah Epal Rumania, Julie, Harumanis dan Chokanan mengeluarkan aroma harum, manakala Telur dan SB003 tidak beraroma. Secara keseluruhan, Epal Rumania dikenal pasti sebagai aksesi paling berpotensi untuk penanaman dalam SWC berdasarkan ciri pertumbuhan, kemudahan pembungaan, hasil yang tinggi serta kualiti buah yang baik.
