Kesan penggunaan produk baja berasaskan perencat urease terhadap hasil dan komponen hasil padi
Mohamad Najib Mohd Yusof dan Rosnani Harun
Ringkasan
Ruby Booster merupakan penggalak tumbuhan yang diperkaya dengan mikronutrien penting termasuk sulfur, magnesium dan zink yang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan optimum tanaman padi. Ruby Booster mengurangkan kehilangan nutrien melalui proses larut lesap dan pemeruapan, menjadikan pembajaan lebih cekap melalui teknologi perencat urease. Sehingga kini, tiada kajian dijalankan di Malaysia mengenai penggunaan Ruby Booster untuk pengeluaran padi. Oleh itu, penilaian Ruby Booster perlu dilakukan untuk mengesahkan kesan produk terhadap pertumbuhan padi, komponen hasil dan hasil padi. Verifikasi produk dilakukan di petak sawah di MARDI Tanjong Karang selama dua musim berturut-turut. Varieti padi MR 315 telah ditanam. Eksperimen ini terdiri daripada tujuh rawatan dan disusun secara reka bentuk blok rawak lengkap (RCBD) dengan empat replikasi. Data pertumbuhan seperti tinggi pokok, bilangan anak pokok dan nilai meter SPAD diambil pada peringkat tertentu pertumbuhan pokok manakala data hasil dan komponen hasil direkodkan semasa peringkat matang. Hasil menunjukkan bahawa aplikasi 20 kg/ha Ruby Booster pada peringkat terbit tangkai dengan 50 kg/ha Padi 3 (T5) memberikan prestasi yang lebih baik berbanding dengan rawatan lain. Ia menghasilkan bilangan tangkai padi yang lebih tinggi (8.22% berbanding dengan T1), berpotensi memberikan 3.0% anak padi produktif berbanding dengan T1, mempunyai kelebihan untuk meningkatkan peratus biji bernas sebanyak 85.75% yang seterusnya membawa kepada hasil tuaian yang lebih tinggi dengan 17.05% berbanding dengan aplikasi baja semasa (T1).
