Penentuan kandungan sukrosa dan terbitannya dalam sayuran kebuniti
Mohd Nazrul Hisham Daud, Mohd Lip Jabit dan Nur Syafini Ghazali
Ringkasan
Kajian ini dijalankan bagi tujuan pembangunan teknik penentuan kandungan gula sukrosa dan terbitannya merangkumi glukosa, fruktosa dan maltosa dalam sampel sayuran kebuniti menggunakan instrumentasi HPLC yang melibatkan parameter khusus seperti turus pemisah, kombinasi pelarut, kadar aliran yang sesuai dan suhu. Berdasarkan keputusan yang diperoleh, turus amina merupakan turus pemisah yang sangat sesuai digunakan bagi tujuan pemisahan kerana tidak memerlukan sebarang proses derivatisasi pada sampel bagi membolehkan ia dikesan. Dari segi kombinasi pelarut, kombinasi asetonitril dan air deionisasi pada nisbah 80:20 dapat mengalirkan keluar gula yang dipisahkan oleh turus amina (NH2) dengan cekap susulan sifat polariti kedua-dua pelarut yang berbeza. Suhu instrumentasi ditetapkan pada 25 °C sepanjang uji kaji bagi mengelakkan kinetik pemisahan yang mendadak. Berdasarkan keputusan yang diperoleh, gula sukrosa dan terbitannya dapat dikesan 10 – 23 minit pada kromatogram. Teknik yang dibangunkan ini diverifikasi menggunakan teknik lengkuk kalibrasi menghasilkan nilai pekali
penentuan (R2) ? 0.999 yang menunjukkan ia adalah sangat sensitif dan signifikan. Teknik yang telah dibangunkan ini juga telah diuji bagi penentuan kandungan gula sukrosa dan terbitannya dalam sampel sayuran kebuniti. Secara keseluruhannya, kesemua sayuran kebuniti yang diuji mempunyai sekurang-kurangnya dua jenis gula dengan sayuran seperti terung panjang dan bayam berserta terung mini yang ditanam di Seksyen 16 (Shah Alam) mempunyai kesemua gula sukrosa dan terbitannya. Ini menunjukkan sayuran kebuniti yang ditanam mampu memberikan diet harian yang bertenaga. Keputusan yang diperoleh daripada uji kaji ini juga dapat menunjukkan potensi sayuran yang ditanam dan seterusnya dapat meningkatkan lagi aktiviti pertanian bandar pada masa hadapan.
