Pengesyoran kadar baja lokasi spesifik padi bagi luar jelapang negeri Perak menggunakan teknologi RiceFERT
Theeba Manickam, Muhammad Zamir Abdul Rasid, Hasliana Kamaruddin, Muhammad Muzzammil Mohamad Nizar dan Ezrin Amira Kamal Baharin
Ringkasan
Pembangunan sistem pengesyoran baja lokasi spesifik melalui model RiceFERT bagi kawasan luar jelapang yang melibatkan negeri Perak merupakan langkah strategik untuk meningkatkan hasil padi nasional daripada aras rendah (<3 t/ ha) kepada potensi maksimum (6 – 8 t/ha). Melalui integrasi teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan kaedah analisis makro, sistem ini memberikan kadar input pembajaan yang lebih tepat berdasarkan status kesuburan tanah iaitu nilai KPK dan keperluan fisiologi tanaman pada peringkat kritikal. Hasil kajian di lima daerah utama (Hulu Perak, Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Hilir Perak) menunjukkan variasi keperluan nutrien yang signifikan di mana tanah aluvium di Perak Tengah membolehkan pengurangan input nitrogen (N), manakala kawasan berpotensi tinggi seperti Hilir Perak memerlukan tambahan kalium (K2O) melebihi kadar subsidi semasa untuk mencapai sasaran 8 t/ha. Secara keseluruhannya, pendekatan RiceFERT membuktikan bahawa dasar subsidi baja perlu diselaraskan mengikut spesifikasi lokasi bagi mengelakkan pembaziran input pada sasaran hasil rendah dan mengatasi kekurangan nutrien pada sasaran hasil tinggi. Pelaksanaan pendekatan ini bukan sahaja menjamin kecekapan kos dan kelestarian alam sekitar, malah berfungsi sebagai sistem sokongan keputusan yang berkesan bagi petani dan pembuat dasar dalam memacu keterjaminan makanan negara.
