Pengurusan bersepadu rumput miang Mexico di Malaysia

Category: Bil. 10 (2016)

Dilipkumar Masilamany, Azimah Abd Kadir dan Anis Fadzilah Muhammad Akhir

Ringkasan

Rumput miang Mexico (RMM) merupakan rumpai invasif yang berasal dari negara subtropika Amerika Utara dan Selatan yang telah menyerang 83 buah negara termasuk Malaysia. Rumpai ini merupakan ancaman besar bagi industri pertanian dan penternakan yang boleh mengakibatkan ketidakstabilan biodiversiti malah turut menjejaskan kesihatan tubuh badan manusia. RMM mengandungi sebatian kimia parthenin dan lakton seskuiterpen yang berupaya merencatkan pertumbuhan dan tumbesaran tanaman lain. Bahan allelokimia yang terkandung dalam rumpai ini menjadikannya lebih dominan berbanding dengan tumbuhan asal dan akhirnya menjejaskan kestabilan biodiversiti di kawasan tersebut. Seluruh bahagian pokok mempunyai bahan kimia bertoksik yang berupaya memberi kesan alergik kepada manusia dan haiwan ternakan yang bersentuhan dengannya. Terdapat beberapa kaedah kawalan untuk mengawal rumpai ini, antaranya adalah secara fizikal, mekanikal, kimia dan biologi. Kaedah fizikal adalah dengan mencabut rumpai secara manual manakala kaedah mekanikal pula adalah dengan menghapuskan rumpai menggunakan alatan seperti parang atau mesin rumput. Kaedah fizikal dan mekanikal hanya sesuai pada peringkat awal pertumbuhan. Penggunaan bahan kimia atau racun rumpai pula merupakan kaedah yang paling popular kerana tidak melibatkan kos yang tinggi dan tenaga kerja yang banyak. Manakala kaedah biologi adalah dengan kawalan menggunakan organisma hidup seperti serangga, patogen dan penutup bumi. Menyedari kesan negatif dan kerugian akibat RMM, sistem pengurusan bersepadu perlu dijadikan panduan utama untuk mengawal rumpai berbahaya ini.

Teks Penuh (246 KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.