Pakej teknologi mekanisasi ladang bagi pengeluaran nanas di tanah mineral
Rohazrin Abdul Rani, Khairul Fithri Abdul Rashid dan Miswan Joyo
Ringkasan
Aktiviti pengeluaran nanas terdiri daripada enam perkara asas iaitu penyediaan tanah, penanaman, penjagaan tanaman, pengairan, penuaian dan operasi selepas penuaian. Pembukaan kawasan baru yang bertanah mineral untuk pengeluaran nanas telah membuka peluang yang luas kepada penggunaan jentera. MARDI telah mengenal pasti dan menguji guna pakej mekanisasi yang sesuai untuk pengeluaran nanas di tanah mineral. Mekanisasi yang telah dikenal pasti ialah mekanisasi penyediaan tanah, penanaman, penjagaan tanaman, penuaian dan operasi selepas penuaian. Mekanisasi penyediaan tanah adalah sama seperti mana yang diguna pakai dalam kebanyakan operasi pengeluaran tanaman lain seperti penggunaan bajak dan bajak putar. Mekanisasi penanam nanas membantu buruh membawa sulur dan membuat lubang daripada barisan untuk penanaman. Penjagaan tanaman nanas menggunakan dua jenis mesin iaitu mesin semburan dan mesin mekanikal merumput serta membaja. Pengairan nanas boleh dijalankan dengan menggunakan senapang hujan, tetapi perlu disediakan sumber air yang banyak seperti kolam tadahan air. Penuaian buah nanas dapat dipercepatkan dengan menggunakan mesin bantuan penuaian nanas yang dapat mengurangkan beban buruh membawa buah. Selepas penuaian, pokok nanas akan dipotong pendek bagi menggalakkan pertumbuhan sulur untuk digunakan sebagai benih. Penggunaan mesin pemutar tanah rekaan khas memudahkan aktiviti penanaman semula nanas. Secara keseluruhannya penggunaan mekanisasi dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran nanas.
Teks Penuh (450 KB)