Potensi tumbuhan tempatan sebagai pewarna makanan semula jadi
Hairiyah Mohamad dan Siah Watt Moey
Ringkasan
Kajian ini dilaksanakan untuk menghasilkan serbuk pewarna makanan dari sumber tumbuh-tumbuhan semula jadi iaitu daun pandan (Pandanus amaryllifolius), bunga raya (Hibiscus rosasinensis L.), bunga telang (Clitoria ternatea L.), buah naga merah (Hylocereus undatus) dan kunyit (Curcuma longa). Serbuk pewarna dihasilkan menggunakan teknik semburan kering pada suhu 180 °C menggunakan nozel bersaiz 150 mikron. Data kandungan lembapan dan nilai keaktifan air yang rendah menunjukkan serbuk pewarna yang dihasilkan stabil dan mempunyai jangka hayat penyimpanan yang lama. Kajian aktiviti antioksidan yang dijalankan menunjukkan sedikit penurunan kapasiti antioksidan serbuk pewarna berbanding dengan sampel segar. Kajian yang dijalankan menunjukkan penghasilan serbuk pewarna semula jadi ini mempunyai potensi untuk dikomersialkan dan kajian lanjut perlu dijalankan.