Teknik pengesanan pantas residu fungisid ditiokarbamat dalam sayur-sayuran menggunakan biosensor enzim
Nurul Hidayah Ahmad Puat, Siti Noraini Bunawan, Azima Azmi, Khairatul Azmah Mohamed, Mohammad Shahid Shahrun, Erna Mutiara Masdek, Hidayatul Wahidah Sobri dan Nur Azura Mohd Said
Ringkasan
Penggunaan fungisid yang berleluasa tanpa kawalan dan tidak mematuhi garis panduan dan piawaian dalam kalangan petani amat membimbangkan. Implikasinya, kerajaan telah menanggung kerugian yang besar akibat penolakan konsainmen sayur-sayuran yang dieksport ke luar negara yang dikesan mengandungi kadar pestisid yang melebihi nilai had maksimum residu (MRL) yang ditetapkan. Pengambilan sayur-sayuran yang tercemar dengan racun fungisid dalam jangka masa yang panjang juga boleh mengganggu kesihatan manusia. Justeru, satu kaedah pengesanan fungisid yang mudah, pantas dan boleh digunakan di lapangan adalah amat diperlukan. Dalam hal ini, satu teknologi biosensor berasaskan enzim telah dibangunkan menggunakan enzim dehidrogenase tempatan. Enzim 158 ini dipegunkan pada permukaan elektrod bercetak skrin (SPE) yang terubah suai dengan jaringan polimer konduktif polipirol, grafena dan koloid emas bersaiz nano. Strip SPE yang telah diubah suai menunjukkan peningkatan luas pemukaan aktif dan nilai kepadatan arus yang lebih baik berbanding dengan SPE yang tidak diubah suai. Teknik biosensor yang dibangunkan berupaya mengesan empat jenis racun ditiokarbamat (zineb, maneb, mancozeb dan thiram) dalam tempoh 15 minit dengan proses penyediaan sampel yang mudah berbanding dengan kaedah konvensional yang lain. Dengan peranti mudah alih biosensor berintegrasi internet-ofthings (IoT), pengesanan biosensor dapat dijalankan di lapangan justeru sesuai digunakan oleh agensi penguat kuasa mahupun petani bagi tujuan pemantauan dalam memastikan produk sayur-sayuran tempatan adalah selamat untuk dimakan.