Keupayaan terung rapuh terhadap tekanan genang air

Category: Bil. 26

Zulhairil Ariffin, Nor Asiah Ismail, Maya Izar Khaidizar, Mohd Aziz Rashid, Aimi Athirah Ahmad, Umikalsum Mohamed Bahari, Nuradni Hashim dan Hamizan Abdul Jalil

Ringkasan
Terung rapuh adalah terung tradisional yang jarang digunakan, terbiar dan kurang ditanam secara meluas berbanding dengan terung komersial. Ini disebabkan beberapa faktor termasuk kurangnya promosi, kesedaran awam dan pengetahuan yang diperlukan untuk pertanian berskala besar. Walau bagaimanapun, terung rapuh dipercayai mempunyai banyak potensi dalam nilai pemakanan seperti mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi dan mengandungi sebatian kimia berfungsi. Selain itu, toleran kepada banjir atau tekanan genang air adalah salah satu fakta penting untuk didedahkan dalam kajian ini. Pokok terung juga boleh digunakan sebagai pokok penanti untuk tanaman sayuran terutamanya tomato, untuk mengurangkan penyakit daripada patogen bawaan tanah dan genang air. Seperti yang kita tahu, banjir adalah satu tekanan persekitaran yang dapat mempengaruhi komuniti tumbuhan dan ekosistem. Ia akan menyebabkan impak negatif ke atas prestasi pokok untuk mengeluarkan hasil dan menyumbang kepada penghasilan buah yang rendah. Justeru, kesan banjir ke atas morfo-fisiologi terung rapuh telah dijalankan di bawah struktur lindungan hujan dengan empat jenis rawatan banjir iaitu 0, 7, 14 dan 21 hari. Kajian dijalankan menggunakan reka bentuk blok lengkap terawak (RCBD) dengan tiga replikasi di sepanjang peringkat pembiakan terung rapuh. Ciri-ciri morfologi seperti ketinggian pokok, bilangan dahan utama, bilangan daun dan bilangan bunga dan ciri-ciri fisiologi (fluoresen klorofil, kadar bersih fotosintesis dan kandungan relatif klorofil) telah dijumpai sebagai signifikan dan boleh dipercayai. Manakala, ciri-ciri seperti daun yang kekuningan dan bilangan buah telah didapati tidak signifikan daripada setiap jenis rawatan. Terung rapuh telah didapati efektif untuk menahan kesan akibat banjir dengan kenaikan nilai fluoresen klorofil dan kadar fotosintes. Kira-kira 63% populasi terung rapuh yang dirawat kekal hidup selepas rawatan banjir selesai. Penemuan ini menunjukkan bahawa terung rapuh mempunyai kesan toleran yang sederhana ke atas keadaan genang air.

Teks penuh (337KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.