Penilaian kualiti mikrobiologi, fizikokimia dan sensori bagi penentuan jangka hayat pes klon durian D24 dengan rawatan haba
Raja Arief Deli Raja Nasharuddin, Wan Nur Zahidah Wan Zainon, Hafiz Aizat Yanan, Rawaida Rusli, Mohd Fakhri Hashim dan Norhida Arnieza Muhsin
Ringkasan
Trend eksport durian yang kian meningkat telah menggalakkan pihak industri bersama agensi kerajaan untuk memperluaskan pasaran produk agromakanan negara. Bagi tujuan itu, kajian ini dilaksanakan bagi membuat penilaian terhadap kesan rawatan haba menggunakan teknologi retort dalam memanjangkan jangka hayat penyimpanan pes klon durian D24. Berdasarkan hasil analisis kualiti mikrobiologi, didapati pes klon durian D24 yang disimpan pada suhu penyimpanan sejuk dingin, 4 °C (PD-SD) adalah selamat untuk dimakan sepanjang tempoh penyimpanan enam bulan. PD-SD juga menunjukkan keputusan kualiti fizikokimia dan penerimaan sensori yang baik untuk tempoh penyimpanan tersebut. Kajian ini menekankan kepentingan keselamatan mikrobiologi dan juga penilaian kualiti fizikokimia serta sensori dalam penentuan jangka hayat bagi pes durian yang dihasilkan untuk menyokong pematuhan akses laluan pasaran.