Kesan suhu dan masa penyimpanan terhadap kandungan flavonoid dan fenolik dalam empat jenis jus sitrus
Zuraida Ab Rahman, Ayu Nazreena Othman, Nur Zulaika Athirah Dzulkifly, Nur Syahirah Mahyudin, Syairah Sofiyan, Chiang Li Shan, Nik Maisya Syuhada Zolaimi dan Farhana Jimmy
Ringkasan
Buah-buahan sitrus merupakan tanaman yang banyak memberi manfaat kepada kesihatan dan mampu merawat pelbagai jenis penyakit. Ia membekalkan sumber penting sebatian bioaktif seperti flavonoid, fenolik dan pektin. Satu kajian terhadap empat jenis buahan sitrus iaitu oren (Citrus x sinensis), lemon (Citrus x limon), limau nipis (Citrus aurantiifolia) dan limau kasturi (Citrus x microcarpa) telah dijalankan bagi melihat kesan kandungan fenolik dan flavonoid di dalam jus yang diberi rawatan suhu (4 ? dan –20 ?) dan tempoh penyimpanan (1 – 8 minggu) yang berbeza. Sampel segar bagi kesemua jus yang dikaji tanpa penyimpanan didapati nilai kandungan flavonoid dan fenolik adalah tinggi berbanding dengan penyimpanan pada kesemua jangka masa yang dikaji. Proses penyimpanan telah menyebabkan kandungan flavonoid dalam kesemua jus didapati menurun sehingga ke aras terendah iaitu 0.396 mg flavonoid/sampel segar bagi sampel jus oren pada suhu –20 ? dalam minggu kelapan berbanding dengan sampel segar (4.96 mg flavonoid/sampel segar) dengan penurunan sebanyak lebih 90%. Kandungan fenolik dalam sampel jus segar dalam jus oren adalah tertinggi (0.068 mg asid gallic/sampel segar) diikuti dengan jus lemon (0.060 mg asid gallic/sampel segar), jus limau nipis (0.053 mg asid gallic/sampel segar) dan jus limau kasturi (0.052 mg asid gallic/sampel segar). Penyimpanan jus pada suhu rendah juga memberi kesan kepada kandungan fenolik pada kesemua jenis jus yang dikaji dengan nilai penurunan yang ketara. Rawatan jangka masa dan suhu penyimpanan telah memberikan kesan kepada kandungan flavonoid dan fenolik di dalam jus sitrus. Semakin lama tempoh penyimpanan dan suhu yang lebih rendah menunjukkan corak trend penurunan kepada kandungan flavonoid dan fenolik.