Varieti padi MARIA (MRQ 103) – Padi spesialti baharu untuk gaya hidup sihat
Asfaliza Ramli, Shamsul Amri Saidon, Elixson Sunian, Rahiniza Kamaruzaman, Hamidah Mohd Sarif, Zakiah Mohd Zuki, Heri Yanto Mustafa, Mohd Solihen Jamal, Kogeethavani Ramachandran, Siti Norsuha Misman, Mohd Fitri Masarudin, Shahida Hashim, Hanisa Hosni dan Engku Hasmah
Ringkasan
MARIA yang bermaksud MARDI Rice Aroma juga dikenali sebagai MRQ 103, merupakan varieti padi spesialti baharu MARDI yang rendah indeks glisemik dan telah dihasilkan menggunakan kaedah kacukan dialel antara varieti MRQ 89 dan MRQ 50. Pembangunan varieti ini telah bermula pada musim utama 2009/2010 melalui proses kacukan antara dua induk terpilih diikuti dengan pemilihan pedigri dan penilaian hasil di MARDI Seberang Perai. Genotip-genotip yang berpotensi daripada penilaian hasil dimajukan ke penilaian multilokasi dan penentusahan setempat di jelapang padi utama sehinggalah genotip terbaik dikenal pasti iaitu MRQ 103. Varieti ini matang sekitar 117 – 120 hari selepas semai, pokok yang rendah (105 cm) dan berat seribu biji sekitar 19.2 g. Beras MARIA boleh dikategori sebagai beras yang panjang dan tirus, kandungan amilosanya tinggi (25.4%) dan perolehan beras kepala sekitar 78.2%. Keistimewaannya terletak pada tekstur nasi yang seroi, tidak melekit, ciri aroma yang sederhana kuat dan kandungan indeks glisemik yang rendah (51) sesuai untuk gaya hidup yang sihat. Tambahan
pula, MARIA menunjukkan ciri kerintangan yang baik terhadap penyakit karah dan serangga benah perang, serta julat hasil antara 3.5 – 5.3 t/ha dipenilaian penentusahan setempat. Analisis model AMMI menunjukkan MARIA adalah stabil dan disyorkan penanamannya di kebanyakan kawasan jelapang terutamanya kawasan subur dan sederhana subur.