Teknik analisis sebatian kimia eurikumanon dan skopoletin daripada tongkat ali

Category: Bil. 35

Mohd Nazrul Hisham Daud, Mohd Lip Jabit dan Noor Ismawaty Nordin

Ringkasan
Tongkat ali atau nama saintifiknya Eurycoma longifolia merupakan tumbuhan herba tradisional Malaysia yang popular kerana mempunyai pelbagai khasiat. Mengikut amalan tradisi, air rebusan tongkat ali dipercayai mampu memberi kesan yang signifikan kepada kesihatan seperti mengurangkan pening kepala, merawat darah tinggi dan kencing manis. Berdasarkan kajian saintifik, tongkat ali didapati mengandungi dua sebatian kimia utama dikenali sebagai eurikumanon dan skopoletin. Kedua-dua sebatian kimia ini dilaporkan memainkan peranan yang penting kepada kesihatan menurut pengetahuan tradisi. Bagi memastikan kehadiran kedua-dua sebatian kimia tersebut dalam tongkat ali dan produk berasaskannya, teknik analisis khusus melibatkan beberapa proses telah dibangunkan. Bagi sampel pepejal, secara umumnya proses ini melibatkan penyediaan sampel, pengekstrakan sebatian kimia, instrumentasi dan penentuan kandungan sebatian kimia. Penyediaan sampel melibatkan pengisaran sampel kepada 0.005 mm saiz partikal. Selanjutnya, 1.0 g sampel tersebut direndam menggunakan 10 mL pelarut metanol dan disonikasi selama 1 jam. Rendaman tersebut dituras menggunakan kertas turas jenama whatmann bersaiz 113. Kemudian, ekstrak yang diperoleh ditapis menggunakan penapis picagari bersaiz 0.45 ?M ke dalam vial suntikan. Proses yang sama dilakukan bagi sampel cecair kecuali untuk penyediaan sampel yang melibatkan pengisaran. Isi padu sebanyak 10 mL sampel ditapis menggunakan penapis picagari yang sama saiz bagi mengeluarkan bendasing. Ekstrak yang telah ditapis dan larutan piawai disuntik ke dalam instrumentasi analisis HPLC. Larutan sebatian kimia piawai pada kepekatan yang berbeza (500, 250, 125, 62.5 dan 31.2 ppm) juga perlu disediakan. Pengesanan sebatian kimia dan larutan piawai merangkumi eurikumanon dan skopoletin yang dicapai sebagai signal direkodkan dalam bentuk kromatogram. Keluasan kawasan signal bagi ekstrak dan larutan piawai dibandingkan bagi menentukan kandungan eurikumanon dan skopoletin di dalam sampel. Teknik yang telah dibangunkan ini amat berguna bagi menentukan tahap kualiti tongkat ali dan produk berasaskannya.

Teks penuh (1.74MB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.