Profil asid lemak meruap (ALM) dalam rumen kerbau sawah yang diternak dalam dua sistem pengeluaran

Category: Bil. 35

Fhaisol Mat Amin, Lokman Hakim Idris, Hasliza Abu Hassim, Mohd Zamri Saad dan Md Zuki Abu Bakar

Ringkasan
Kerbau sawah (Bubalus bubalis) merupakan baka kerbau asli Malaysia yang kebanyakannya diternak secara ekstensif dalam persekitaran tempatan. Ruminan berupaya menukarkan bahan makanan kepada tenaga melalui penghasilan asid lemak meruap (ALM) di dalam rumen. Disebabkan oleh perbezaan sistem pengeluaran ini, satu kajian dilaksanakan bagi menentukan
profil asid lemak meruap daripada kerbau sawah yang diternak secara semiintensif dan ekstensif. Sebanyak empat ekor kerbau sawah jantan berumur 18 – 24 bulan daripada sistem semi-intensif dan enam ekor daripada sistem ekstensif digunakan dalam kajian ini. Cecair rumen diambil dan dianalisis menggunakan alat kromatografi gas. Hasil kajian menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan (p ?0.05) bagi nilai pH dalam cecair rumen antara kedua-dua kumpulan yang dikaji. Komposisi/kandungan asid asetik, asid isobutirik, peratusan asid propionik, peratusan asid butirik dan jumlah komposisi asid lemak meruap adalah lebih tinggi dalam kumpulan semi-intensif berbanding dengan ekstensif. Asid asetik merupakan asid lemak meruap yang mempunyai komposisi yang tertinggi masing-masing dengan 77.17% dalam kumpulan semi-intensif dan 84.43% dalam kumpulan ekstensif. Nisbah asid asetik:propionik dan asid asetik:butirik pula lebih tinggi (p <0.05) dalam kumpulan kerbau yang diternak secara ekstensif. Secara kesimpulannya, perlaksanaan sistem pengeluaran yang berbeza menyumbang kepada perbezaan dalam profil dan komposisi asid lemak meruap dalam kerbau sawah. Kesimpulannya, menerusi kajian ini, didapati sistem semi-intensif memberikan impak penghasilan ALM dalam komposisi yang lebih sesuai bagi kerbau sawah. Namun demikian, penilaian kos pengeluaran juga merupakan unsur penting selain penentuan jenis sistem pengeluaran. Kajian ekonomi secara mendalam diperlukan bagi menentukan sistem manakah yang paling ekonomikal untuk digunakan dalam kerbau sawah.

Teks penuh (145KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.