Kaedah pengoptimuman menggunakan response surface methodology (RSM) bagi penghasilan beras perang cambah MARDI Warna 98 (MW98) berantioksidan tinggi
Norra Ismail, Zuwariah Ishak, Suzalyna Moss, Norhartini Abdul Samad, Rodhiah Razali dan Siti Aishah Sulaiman
Ringkasan
Penghasilan beras perang cambah dapat meningkatkan lagi kualiti beras MARDI Warna 98 (MW98) dari segi khasiat, rasa dan tekstur. MW98 didapati mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi disebabkan oleh kehadiran sebatian antosianin, sejenis pigmen berwarna merah pada biji beras MW98 yang bersifat larut air. Penghasilan beras perang cambah melibatkan tiga parameter utama iaitu tempoh rendaman, percambahan dan pengukusan. Proses pengoptimuman parameter-parameter tersebut telah dilakukan menggunakan kaedah response surface methodology (RSM). Selain menjimatkan masa dan kos, RSM dapat menunjukkan hubung kait antara setiap parameter yang terlibat dengan response yang dikaji. Sebanyak 18 sampel kombinasi dicadangkan oleh RSM melalui perisian Design-Expert dan setiap sampel dinilai kandungan jumlah fenolik (TPC) dan aktiviti antioksidan penurunan ferik (FRAP) yang merupakan sasaran kajian. Berdasarkan data ANOVA yang diperoleh, hanya tempoh percambahan sahaja memberi kesan siginikan (p <0.05) terhadap penghasilan beras perang cambah MW98 bersifat tinggi antioksidan berbanding dengan faktor rendaman dan pengukusan. Nilai ramalan optimum bagi penghasilan beras cambah MW98 yang tinggi antioksidan adalah pada lapan jam tempoh rendaman, 80 jam untuk percambahan dan 15 minit pengukusan dengan nilai TPC sebanyak 171.87 mg GAE/100 g dan 177.37 mg FE2+/100 g bagi nilai FRAP.