Sistem kejuruteraan lepas tuai dan pemprosesan tembikai
Masniza Sairi, Zainun Mohd Shafie, Badaruzzaman Mohamad Noh, Wan Mohd Fariz Wan Azman, Hasmin Hakim Hasbullah, Saiful Azwan Azizan, Afiqah Aina Rahim, Nur Azlin Razali dan Teoh Chin Chuang
Ringkasan
Artikel ini membincangkan pembangunan, perolehan dan penilaian prestasi sistem kejuruteraan lepas tuai dan pemprosesan tembikai yang merangkumi sistem pembersihan dan pengelasan saiz tembikai, dan sistem pemprosesan puri tembikai oleh Pusat Penyelidikan Kejuruteraan, MARDI. Sistem pembersihan dan pengelasan saiz tembikai memfokus buah tembikai segar untuk pasaran eksport, manakala sistem pemprosesan puri tembikai memfokus kepada teknologi penghasilan puri tembikai berkos efektif sebagai model kepada usahawan tani skala Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk meneroka industri ini. Sistem pembersihan tembikai digunakan dalam proses pembersihan dan sanitasi bagi memanjangkan jangka hayat tembikai yang bermanfaat untuk pasaran eksport. sistem pengelasan saiz tembikai pula merupakan aplikasi lengan robotik dalam aktiviti pengendalian lepas tuai produk pertanian. Penilai prestasi sistem telah dilaksanakan bagi kedua-dua sistem. Sistem pembersihan dan pengelasan saiz tembikai telah dinilai prestasi dari aspek kapasiti dan kecekapan proses pembersihan dan pengelasan saiz, penilaian kesan sistem terhadap kualiti luaran dan dalaman tembikai, jangka hayat simpanan dan ujian mikrob. Sistem pemprosesan puri tembikai yang merangkumi proses pengupasan, pengekstrakan dan pempasteuran pula dinilai prestasi dari aspek kapasiti proses. Sistem ini mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti puri tembikai.