Pembangunan dan penilaian mesin pencantas pokok nanas bagi pengeluaran sulur nanas
Adli Fikri Ahmad Sayuti, Rohazrin Abdul Rani, Noraznal Mohd Zainal, Norahshekin Abdul Rahman dan Norhafizi Mansor
Ringkasan
Nanas adalah buah tropika yang sesuai untuk penanaman di kebanyakan kawasan di Malaysia kerana ketahanannya terhadap cuaca panas dan kelembapan tinggi. Selepas 15 bulan ditanam, nanas akan dituai dan proses mencantas daun nanas dan pembajaan cecair urea dilakukan untuk merangsang pertumbuhan baru. Kaedah konvensional mencantas daun nanas adalah menggunakan parang atau sabit yang mengambil masa agak lama dan memerlukan ramai tenaga kerja, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran. Satu prototaip baru telah dibangunkan, dilengkapi dengan dua cakera bilah pemotong dan ketinggian pemotong yang boleh dilaraskan, khusus untuk kegunaan di tanah gambut. Prototaip ini direka untuk meningkatkan kecekapan operasi mencantas pokok nanas, dengan fokus pada pengurangan masa dan tenaga kerja yang diperlukan. Mesin ini, yang dikuasakan oleh traktor 38 hp berkelegaan tinggi, menyediakan potongan bersih pada daun nanas tanpa merosakkan tanaman dan boleh mencantas sehingga 30 cm daripada permukaan tanah iaitu ketinggian ideal sebelum pembajaan. Kadar kerja mesin ini ialah 0.85 hektar/jam dengan kelajuan 2.03 km/jam. Mesin ini menghasilkan potongan daun yang bersih dan seragam. Dengan menggunakan mesin ini, ia dapat menjimatkan masa dan mengurangkan keperluan tenaga kerja, yang dapat membantu keduadua petani nanas skala besar dan kecil untuk memangkas tanaman nanas dengan lebih cekap.