Teknik enzimatik untuk penentuan aktiviti antidiabetes in vitro dalam herba terpilih
Mirfat Ahmad Hasan Salahuddin, Tun Nor Brillinda Mokhtar, Mohd Effendi Mohamed Nor, Izlamira Roslan dan Muhammad Faris Mohd Radzi
Ringkasan
Diabetes mellitus adalah penyakit metabolik yang dicirikan oleh hiperglisemia (tinggi kandungan glukosa dalam darah) akibat gangguan dalam penghasilan atau tindakan insulin atau gabungan kedua-duanya. Salah satu strategi terapeutik untuk mengawal penyakit ini adalah dengan merencat enzim pencernaan karbohidrat utama iaitu alpha-amilase dan alpha-glukosidase. Perencatan enzim-enzim ini terbukti efektif dalam mengurangkan hiperglisemia melalui beberapa mekanisme utama. Enzim alpha-amilase memecah kanji menjadi gula sederhana, manakala alpha-glukosidase memecah karbohidrat kompleks menjadi glukosa di usus kecil. Dengan merencat aktiviti enzim-enzim ini, proses pencernaan karbohidrat dan penyerapan glukosa ke dalam aliran darah dapat dikurangkan yang seterusnya membantu mengawal kadar glukosa darah. Kini, penerokaan sumber semula jadi seperti herba dan tumbuhan ubatan sebagai agen antidiabetes semakin meningkat. Herba mengandungi pelbagai sebatian kimia aktif yang boleh membantu mencegah dan merawat penyakit diabetes. Ia juga terbukti tidak toksik dan mempunyai sedikit atau tiada kesan sampingan, menjadikannya pilihan alternatif dalam pengurusan penyakit ini. Hasil kajian kami menunjukkan herba seperti rosel dan kesum berpotensi mengawal penyakit diabetes melalui mekanisme perencatan aktiviti enzim alpha-amilase dan alpha-glukosidase. Walau bagaimanapun, penyelidikan lanjut perlu dijalankan untuk menjelaskan mekanisme tindakan ini dengan tepat, seterusnya mengesahkan potensi antidiabetes herba ini.