Sistem pengesanan kualiti penapakan sulur nanas untuk operasi penanaman yang cekap

Category: Bil. 44

Siti Noor Aliah Baharom, Adli Fikri Ahmad Sayuti, Badril Hisham Abu Bakar, Muhammad Hariz Musa, Mohammad Aufa Mhd. Bookeri, Mohd Nizam Zubir, Mohamad Fakhrul Zaman Omar, Norhafizi Mansor, Noraznal Mohd Zainal dan Yuhanawati Mat Yunus

Ringkasan
Penanaman sulur nanas menggunakan mesin penanaman yang diubah suai menyebabkan penapakan beberapa sulur pada tanah tidak menepati ciriciri penapakan yang baik untuk pertumbuhan pokok nanas yang optimum. Beberapa sulur didapati condong atau terus rebah di atas tanah dan tidak tertanam pada titik lokasi yang sepatutnya. Ini menjadikan hasil penapakan sulur nanas menggunakan mesin ini tidak setanding dengan hasil penapakan sulur yang ditanam secara manual, meskipun keperluan tenaga kerja dan masa adalah berkurangan. Sistem pengesanan kualiti penapakan sulur nanas telah dibangunkan untuk meningkatkan kecekapan penanaman sulur nanas menggunakan mesin penanam yang diubah suai ini. Sistem ini dipasang di belakang mesin penanam sulur nanas yang disangkut pada belakang traktor. Semasa operasi penanaman sulur dilakukan, sistem yang mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet-pelbagai-benda (IoT) ini mencerap imej sulur yang ditanam dan mengkelaskan imej-imej sulur tersebut kepada dua kelas kualiti penapakan sulur iaitu kelas OK atau misplant. Bilangan sulur bagi kedua-dua kelas tersebut direkodkan dan dipaparkan secara digital pada papan pemuka IoT. Ketepatan pengkelasan kualiti penapakan sulur nanas oleh sistem yang dibangunkan ini ialah 86%. Maklumat yang dipaparkan membantu peladang nanas membuat tindakan seterusnya seperti membetulkan kedudukan sulur misplant secara manual, menyulam sulur pada titik lokasi penanaman misplant atau melakukan semula operasi penanaman menggunakan mesin penanam. Kaedah ini dapat menjimatkan masa dan tenaga kerja dalam operasi penanaman sulur nanas. Ini seterusnya meningkatkan kecekapan pengeluaran nanas secara keseluruhannya.

Teks penuh (1.98MB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2026 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.