Penilaian awal prestasi mesin pengisihan warna untuk cili merah: Aplikasi teknologi dalam proses lepas tuai
Mohd Shahrir Azizan, Wan Mohd Fariz Wan. Azman, Asnawi Shahar, Mohd Zaimi Zainol Abidin, Muhammad Aliq Jamaluddin, Ahmad Fadhlul Wafiq Ab Rahman, Faewati Abdul Karim, Mohd Azmirredzuan Sani, Mohd Hafiz Mohd Amin Tawakkal, Amir Redzuan Shamsulkamal, Masniza Sairi dan Teoh Chin Chuang
Ringkasan
Kajian ini menilai prestasi mesin penggredan penyisih warna komersial RealTech BL30W bagi cili merah Kulai (Capsicum annuum L.) dalam proses lepas tuai, di mana mesin berasaskan teknologi penglihatan mesin dengan penderia RGB dan sistem pneumatik ini diuji secara terkawal terhadap kaedah manual menggunakan dua tetapan aliran hasil (10 kg dan 100 biji) serta tiga kelajuan tali sawat (35, 45 dan 55 RPM). Keputusan menunjukkan kelajuan 45 RPM memberikan prestasi terbaik dengan ketepatan klasifikasi sehingga 99.7%, kejituan melebihi 91% untuk kategori merah dan hijau serta kadar penolakan palsu yang rendah, manakala kelajuan 35 RPM stabil, tetapi perlahan dan 55 RPM menyebabkan ketepatan merosot akibat gangguan imej pada aliran tinggi. Walaupun kaedah manual lebih pantas untuk jumlah kecil, ia kurang konsisten kerana bergantung pada penilaian subjektif operator. Secara keseluruhan, RealTech BL30W membuktikan potensi automasi dalam meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kualiti penggredan hortikultur tempatan serta menyokong peluasan penggunaan teknologi pintar dalam rantaian pengendalian lepas tuai di Malaysia.
