Pemprosesan tisane daun durian Belanda
Hasnisa Hashim, Nurul Nabilah Mohd Fiteri, Mohd Fakhri Hashim, Nur Baizura Sa’dom, Noor Fadzlina Inche Zainal Abidin dan Yangmurni Zamani
Ringkasan
Kajian dijalankan bagi membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pemprosesan tisane daun durian Belanda yang selamat untuk dimakan dan mematuhi had mikrobiologi yang dibenarkan. SOP yang dibangunkan merangkumi peringkat penerimaan bahan mentah, pembersihan, pengeringan dan penyimpanan dengan penekanan kepada amalan kawalan mutu sebelum, semasa dan selepas pemprosesan. Tisane yang dihasilkan dianalisis dari segi ciri fizikokimia, termasuk warna (L*, a*, b*), kandungan kelembapan, aktiviti air (Aw) dan pH serta kualiti mikrobiologi merangkumi jumlah kiraan plat, yis dan kulat, koliform dan Escherichia coli. Hasil analisis menunjukkan bahawa tisane daun durian Belanda yang dihasilkan mempunyai kandungan kelembapan kurang daripada 10% dan aktiviti air kurang daripada 0.5 dengan pH sekitar 5.8. Analisis mikrobiologi menunjukkan bacaan yang rendah dan berada pada aras selamat bagi produk kering berasaskan herba dan tiada pertumbuhan koliform dan E. coli dikesan. Secara keseluruhan, nilai kandungan kelembapan dan aktiviti air yang rendah, bersama pH yang sedikit berasid, berperanan penting dalam menghalang pertumbuhan mikroorganisma, sekali gus menyokong keselamatan dan kualiti mikrobiologi tisane daun durian Belanda yang dihasilkan. Kajian ini menunjukkan bahawa SOP yang dibangunkan berkesan dan berpotensi diaplikasikan dalam penghasilan tisane herba secara konsisten dan selamat.
