Kaedah penilaian kekuatan tensil akar tanaman menggunakan tolok daya tarik-tolak untuk kawalan hakisan
Intan Nadhirah Masri, Noor Haslizawati Abu Bakar, Mohamad Nasrol Rabidi, Amirul Mukmin Khairul Anuar dan Siti Khadijah Mahadi
Ringkasan
Hakisan tanah di kawasan pertanian bercerun merupakan masalah serius yang menjejaskan kesuburan tanah, produktiviti tanaman dan kualiti alam sekitar. Penggunaan tumbuhan sebagai agen bio-kejuruteraan semakin mendapat perhatian kerana akar tanaman mampu mengukuhkan struktur tanah secara semula jadi. Salah satu parameter penting dalam menilai potensi ini adalah kekuatan tensil akar iaitu keupayaan akar menahan daya tarikan sebelum putus. Artikel ini menumpukan kepada kaedah penilaian kekuatan tensil akar menggunakan tolok daya tarik-tolak sebagai teknik yang praktikal dan kos efektif. Ujian dijalankan ke atas beberapa spesies tanaman yang ditanam dalam rhizobox selama 90 hari. Segmen akar segar yang lurus dan tidak rosak dipilih, dipasang pada sistem pengapit bersalut getah dan dikenakan daya tarikan secara beransur-ansur sehingga berlaku kegagalan. Nilai daya maksimum direkodkan dan kekuatan tensil dikira berdasarkan diameter akar. Keputusan menunjukkan perbezaan ketara antara spesies, di mana tanaman berakar serabut seperti Chrysopogon zizanioides dan Cymbopogon citratus mempunyai kekuatan tensil yang lebih tinggi berbanding dengan spesies berakar kasar. Dapatan ini mengesahkan bahawa akar halus lebih berkesan dalam pengukuhan tanah permukaan. Walau bagaimanapun, kekuatan tensil sahaja tidak mencukupi untuk meramal keberkesanan kawalan hakisan tanpa mengambil kira reka bentuk sistem akar dan taburannya dalam tanah. Ketumpatan panjang akar (RLD) turut mempengaruhi tahap pengukuhan tanah kerana ia menentukan sejauh mana sistem akar memenuhi dan berinteraksi dengan matriks tanah. Secara keseluruhan, kaedah tolok daya tarik-tolak sesuai digunakan sebagai alat penilaian awal bagi pemilihan spesies tanaman untuk tujuan kawalan hakisan dan penstabilan cerun.
